Thursday 9 October 2014

Sikap Para Sarjana dan Cendekiawan Islam yang Sepatutnya

Sikap Para Sarjana dan Cendekiawan Islam yang Sepatutnya


Para sarjana dan cendekiawan Islam adalah orang yang mempunyai ilmu yang mendalam bagi
sesuatu matan (cabang) ilmu, mengkaji sesuatu isu secara mendalam dan adil, tanpa menyebelahi
mana-mana pihak, tidak mencari sebarang kepentingan, kemudian mengeluarkan teori-teori dan
resolusi-resolusi yang dirasakan terbaik, hasil daripada pemikirannya sendiri atau cantuman beberapa
pemikiran, berusaha membantu memajukan umat Islam dalam serba-serbi, terutama dari segi
zahirnya dengan segenap ilmu yang ada pada mereka. Mereka dianggap sebagai golongan yang
profesional dalam bidang dan pengkhususan mereka itu. Demikian secara ringkas maksud sarjana dan
cendekiawan Islam menurut pandangan penulis.
Namun, itu hanyalah benar di atas kertas sahaja, tidak selalunya benar di dalam realiti
kehidupan. Sebab itu kita dapati banyak sarjana dan cendekiawan yang menyalahi etika
kesarjanaannya atau kecendekiawanannya. Mereka tidak mengkaji sesuatu isu dengan teliti, tidak
secara mendalam, selalu berat sebelah, mempunyai kepentingan tertentu, penuh syak wasangka
terhadap pendapat pihak lain yang tidak bersesuaian dengan pendapatnya, hanya mengemukakan
pendapat satu-satu pihak sahaja dan tidak begitu berusaha memajukan seluruh umat Islam. Mereka
lebih mementingkan kebajikan golongan-golongan tertentu yang dihadapkan persoalan ini dan lazim
pula memandang rendah terhadap umum umat Islam kerana berasakan ilmu orang awam itu tidak
setaraf dengan ilmu mereka, atau tidak sematang ilmu mereka. Ilmu mereka jarang yang dapat
dipraktikkan dalam kehidupan sebenar bermasyarakat. Ilmu mereka sesuai dibincang dalam forumforum,
seminar-seminar atau bengkel-bengkel kerana bentuk-bentuk demikian lebih sesuai untuk
mereka melontarkan teori demi teori, pendapat demi pendapat dan gagasan demi gagasan.
Sikap seperti ini hanya menyebabkan berlaku satu jurang yang amat besar dan dalam antara
golongan sarjana ini dengan umat Islam umum. Antara satu golongan terhadap golongan yang lain,
saling memandang rendah terhadap golongan yang satu lagi. Masing-masing menaruh syak wasangka
dan kata-mengata di belakang. Jika bertemu, sudah tidak terasa kemesraan antara kedua-dua golongan
ini, tidak masuk ke hati. Cakap-cakap golongan sarjana dan cendekiawan ini sudah tidak berbisa lagi,
tidak tajam dan tidak mampu menusuk ke lubuk hati umat Islam. Mereka dan pendapat mereka tidak
dianggap berwibawa dalam soal agama, baik soal agama yang besar-besar, apatah lagilah dalam soalsoal
yang lebih kecil. Ilmu mereka besar tetapi cakapnya tidak setajam mata pedang. Taraf mereka
tidak lebih daripada seorang biasa sahaja. Pakaian zahir mereka pun sudah cukup untuk membuktikan
kebenaran hal ini.
Dalam soal Imam Mahdi ini, para sarjana dan cendekiawan Islam tidak berani lagi
memperkatakannya secara terus terang, takut nanti dikata sebagai golongan yang mundur, percaya
kepada dongeng dan sebagainya. Sebab itu para sarjana hari ini cuba menafikan kemunculan Imam
Mahdi dengan pelbagai alasan. Kesannya, umat Islam dilontarkan dengan pendapat satu-satu
golongan sahaja, iaitu golongan yang tidak percaya kepada kemunculan Imam Mahdi. Para sarjana
dan cendekiawan kelihatan cukup takut terhadap tekanan dan ancaman dari pihak pemerintah yang
memerintah di negara masing-masing. Jika diperkatakan juga, disampaikan dengan penuh lemah
lembut dan berlapik tujuh lapis. Tiada yang berani memperkatakannya secara terperinci atau lengkap,
takut nanti ada pihak yang akan tersinggung.
Sepatutnya merekalah golongan yang paling berani memperkatakan soal ini, supaya umat
Islam tidak terus-terusan berpecah dan bertelagah. Merekalah sepatutnya golongan yang menyatukan
seluruh hati umat Islam, fikiran umat Islam dan kefahaman umat Islam mengenai soal Imam Mahdi
ini. Hal ini dikeranakan mereka mempunyai cukup segala peralatan dan kemudahan untuk membuat
kajian dan penelitian dalam usaha menyatukan umat. Mereka juga mempunyai segala kepakaran untuk
memikirkan resolusi terbaik dalam usaha penyatuan pendapat ini. Mereka juga mendapat biaya yang
mencukupi untuk menjalankan usaha ini. Mereka juga mempunyai jaringan yang cukup luas dan
sokongan dari pelbagai pihak dalam menjalankan kajian mereka.
Sebarang pendapat mereka dapat pula disiarkan secara penuh dan bebas dalam semua jenis
dan bentuk media yang terdapat di dalam sesebuah negara itu, malah boleh pula disebarkan ke
seluruh dunia Islam dan kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada. Sayangnya, hal ini
rupa-rupanya tidak berlaku dan insya-Allah tidak akan berlaku. Rupa-rupanya Allah SWT telah
menentukan bahawa agama Islam ini tidak akan dibangunkan oleh golongan ini. Keadaan semasa dan
sejarah silam mengajar kita mengenainya melalui bukti-bukti yang nyata. Ilmu yang mereka miliki
rupa-rupanya tidak mampu membantu mereka membangunkan umat Islam, ilmu yang banyak itu juga
tidak mampu memperkasakan iman mereka dan iman anak-anak didik mereka.
Sekiranya benar pendapat bahawa Islam dimiliki dan ditinggikan oleh golongan sarjana dan
cendekiawan Islam ini, mengapa para siswazah yang keluar dari universiti dalam jurusan pengajian
Islam, masih tidak kenal Tuhan, tidak cinta kepada Tuhan, tidak sayang kepada Tuhan, tidak beradab
dengan Tuhan, masih tidak mampu membangunkan Islam di dalam diri dan jiwa raganya? Mengapa
para siswazah ini dilihat dan dianggap sama sahaja tarafnya dengan siswazah dari jurusan ekonomi
atau jurusan perakaunan? Di mana silapnya?
Jika benar universiti adalah pusat penyebaran Islam, mengapa pakaian pensyarahnya, baik
lelaki mahupun perempuan, tidak lebih hebat dan bertakwa daripada pakaian golongan lain yang
bukan dari jurusan Islam? Sepatutnya para pensyarah adalah uswatun hasanah bagi sekalian anak
muridnya khususnya dan sekalian umat Islam umumnya. Bukan pula bererti di sini, penulis seorang
yang antiuniversiti. Menuntut ilmu adalah wajib, dan belajar di universiti adalah salah satu cara untuk
menunaikan kewajipan tersebut. Jika berkemampuan, belajarlah di universiti mana pun dan dalam
jurusan apa pun. Cuma dikesalkan ialah sikap mereka yang mengajar agama, tetapi kelihatan seperti
mahu meruntuhkan agama sendiri melalui bidang agama. Itu sahaja yang dikesalkan. Pensyarahnya
dilihat sebagai bukan seorang yang boleh dijadikan ikutan. Cakapnya tidak bi lisanul hal. Diri,
keluarga, akhlak dan keperibadiannya tidak dapat dicontohi oleh anak muridnya sendiri mahupun
masyarakat awam sebagai uswatun hasanah.

1 comment:

  1. Assalamualaikum warahmatullah wabaraqatuh..Saya mencari perawat disekitar, untuk rawatan secara dekat, saya termakan makanan dari ilmu guna-guna, beratus benda halus di hantar kepada saya..

    email saya : tubuhsatu@gmail.com

    ReplyDelete