Thursday 9 October 2014

STESEN KE LIMA

STESEN KE LIMA



Setelah selesai membaca al-Quran si hamba meneruskan perjalanannya dengan memperbanyakkan zikir dan bersembahyang sunnat, sesuai dengan firman Tuhan:


Sesungguhnya aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku. Sebab itu abdikan dirimu kepada-Ku dan dirikanlah sembahyang buat mengingati Aku. ( Ayat 14 : Surah Taha )

Pengembaraan di dalam sembahyang membentuk hati yang kuat berserah diri kepada Allah s.w.t. Keinginan untuk bertemu dengan-Nya semakin kuat. Si hamba yakin bahawa hanya dengan menyerahkan segala urusan kepada-Nya sahaja boleh membawa seseorang hamba hampir kepada-Nya. Dalam keadaan demikian pergantungan si hamba itu kepada Allah s.w.t semakin teguh. Pengharapannya kepada makhluk tinggal hanya sedikit sahaja lagi. Ingatannya kepada Allah s.w.t sangat kuat dan ingatannya kepada makhluk sangat berkurangan. Lama kelamaan kuatlah penghayatan dalam hatinya suasana:

“Maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t. Keredaan-Nya yang dicari”.

Dalam keasyikan mengerjakan berbagai-bagai sembahyang sunnat itu hati si hamba disentuh oleh sepotong ayat yang sering dibaca dalam sembahyang. Si hamba dengan ikhlas membuat penyaksian:


Dengan Nama Allah, Pemurah, Penyayang.

Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Si hamba memperakui bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t. Oleh kerana segala daya dan upaya adalah hak Allah s.w.t, maka segala sembahyang, ibadat-ibadat, seluruh penghidupan dan juga kematian adalah diperuntukkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada yang lain. Tidak ada motif keduniaan dan keakhiratan.

No comments:

Post a Comment