Thursday 9 October 2014

Sikap Para Ulama yang Sepatutnya

Sikap Para Ulama yang Sepatutnya


Sesiapa yang telah Allah SWT pilih dia menjadi sebagai seorang ulama, patutnya banyakbanyak
bersyukur atas nikmat yang cukup besar itu, yang tidak diberikan-Nya kepada orang lain.
Pemilihan mereka sebagai ulama itu disertakan sekali dengan satu tanggungjawab yang cukup besar
dan berat yang perlu ditunaikan sepenuhnya. Maka kerana itu, mereka mempunyai tanggungjawab
yang cukup besar, iaitu untuk menunaikan amanah sebagai ulama itu dengan penuh ikhlas, atau
bersedia menerima azab neraka yang paling pedih jika amanah itu disia-siakan. Azab neraka untuk
para ulama yang suk adalah jauh lebih dahsyat dan berat daripada azab yang diterima oleh seorang
penzina, dan akan dicampakkan ke dalam neraka lima ratus tahun lebih awal daripada seorang
penyembah berhala.
Para ulama adalah orang yang paling tahu selok-belok agama Islam di kalangan umat ini.
Sikap ulama yang membisu daripada memperkatakan masalah ini secara terus terang dan berani,
menyebabkan umat Islam menjadi berpecah belah dan bercanggah pendapat seperti yang dapat kita
lihat pada hari ini. Ulama zaman dahulu berani dan tegas pendirian mereka, didasarkan hujah yang
kukuh dan sukar dibantah lagi. Mereka amat bersikap terbuka dan sedia mendengar pendapat dari
pelbagai pihak, sekali pun dari pihak yang lemah dan kecil, atau dari pihak yang sedia diketahui akan
kesesatannya. Setiap pendapat itu mereka timbang dengan berhati-hati dan penuh teliti, sesuai dengan
kedudukan mereka sebagai seorang ulama, bukan sekadar seorang sarjana dan cendekiawan sematamata.
Pendapat mereka itu dibukukan untuk tatapan umat sezaman dan juga untuk panduan
generasi kemudian. Mereka menjelaskan perkara yang hak sebagai hak, dan yang batil sebagai batil.
Ilmu dan ijtihad mereka sesuai untuk umat Islam pada zaman mereka, walaupun kebanyakannya
masih lagi boleh diguna pakai oleh umat zaman ini. Mereka telah mendapat sekurang-kurangnya satu
pahala kerana ijtihad mereka itu, yang dibuat berdasarkan segenap ilmu, keupayaan dan kesesuaian
yang diperlukan pada zaman itu.
Mereka tidak terikat atau cenderung kepada mana-mana pihak, baik dari pihak pemerintah
mahupun pihak lain yang cuba mengambil kesempatan. Mereka mengeluarkan pendapat dan ijtihad
dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap Allah, agama Islam, umat Islam dan dirinya sendiri. Niat
mereka begitu ikhlas dalam ijtihad mereka. Hasilnya, mereka sangat dimuliakan oleh Allah SWT, juga
sangat dihormati oleh sekalian umat Islam, amat didengki oleh ulama zahir yang sezaman dan sangat
ditakuti oleh para pemerintah pada masa mereka hidup. Nama mereka terus hidup dan segar
sepanjang zaman, malah mekar mewangi dalam setiap hati sanubari umat Islam walau di mana sahaja.
Hujah dan alasan mereka tetap tidak terpatahkan oleh lawan, walaupun cuba dikumpulkan segenap
hujah dari sekian ramai cendekiawan dan sarjana sekalipun. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana
keikhlasan mereka dalam berijtihad tadi, yang dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab.
Ulama dahulu mampu membentuk dan mencorak umat Islam keseluruhannya, dijadikan role
model oleh setiap umat dalam setiap aspek kehidupan. Pakaian mereka sahaja sudah dapat
membezakan mereka daripada orang awam, dan orang awam meniru bentuk pakaian yang dipakai
oleh ulama tadi dan menganggapnya sebagai suatu sunnah. Rumah tangganya menjadi uswatun
hasanah dan dirujuk oleh orang awam sebagai keluarga contoh. Ibadah mereka diikut oleh para abid
dan solihin, malah orang awam pun menjadi banyak ibadah mereka kesan mengikut banyaknya
ibadah para ulama yang mereka contohi tadi. Wirid zikir mereka tidak terkirakan lagi banyaknya,
tasbih tidak lekang dari tangan mereka. Tawakal mereka setinggi gunung, sehingga mereka tidak lagi
risau dengan rezeki mereka dan ini turut diikut oleh orang awam, sehingga yang miskin menjadi redha
dengan rezeki mereka yang sedikit.
Dengan berbuat begini, barulah para ulama akan dihormati semula oleh semua pihak. Umat
akan merujuk segala permasalahan mereka, dari yang sebesar-besarnya hinggalah kepada yang sekecilkecilnya
kepada institusi ulama yang bebas, berwibawa dan tegas ini. Dengan ini, diharapkan agar
institusi ulama akan diangkat semula ke kedudukannya yang asal dan sepatutnya untuk mereka -
bebas, berkecuali, berwibawa dan amat dihormati. Namun, adakah mana-mana ulama hari ini yang
bersih lidahnya daripada berkata-kata yang tidak perlu? Mana dia ulama yang mempunyai segala ciriciri
di atas pada zaman ini? Mana dia ulama yang boleh dijadikan role model untuk diikut oleh
sekalian umat Islam pada zaman ini? Tunjukkan siapa dia orangnya.
Seterusnya sikap seperti ini mampu membuka minda seluruh umat Islam terhadap
kedudukan sebenar soal khilafiah ini, dan ranting-ranting masalah yang berkaitan dengannya.
Akhirnya setelah semuanya mendapat kefahaman yang jitu dan pasti, seluruh umat akan bersatu hati,
bersatu fikiran dan bersatu tenaga membangunkan Islam ini. Tidakkah itu hasil yang kita idamidamkan
selama ini? Sayang sekali kerana para ulama yang ada tidak bersuara. Atau jika bersuara pun,
hanya menyentuh soal-soal yang selamat, yang tidak menyinggung pihak pemerintah terutamanya.
Para ulama juga tidak bersatu hati dan bersatu jiwa raga sepenuhnya. Mereka hanya mampu bersatu
dari segi zahir iaitu mengikut persatuan-persatuan ulama yang mereka masuki sahaja, tidak dari segi
fikrah, kefahaman, penghayatan, pengamalan dan matlamat.
Oleh itu, sebagai panduan am kepada para ulama khususnya dan bakal ulama amnya, penulis
sertakan di sini beberapa panduan paling asas yang patut menjadi renungan kita bersama, kemudian
sama-sama diamalkan dengan bersungguh-sungguh iaitu:
1. Jika ulama sendiri hatinya amat jauh daripada Tuhan, maka para pemimpin dan rakyat
langsung tidak ada Tuhan di dalam hatinya.
2. Jika ulama sendiri mencari dunia, maka pemimpin dan rakyat akan mengejar dunia sungguhsungguh.
3. Jika ulama tidak dapat dijadikan model ikutan, pemimpin dan rakyat akan meninggalkan
ulama dan mengikut para penyanyi dan pelakon sebagai model ikutan mereka.
4. Jika ulama pintu hatinya tertutup daripada hidayah Allah, pemimpin dan rakyat akan mati
hati mereka daripada mendapat hidayah Allah.
5. Jika ulama tidak mendapat hidayah, segala ungkapannya terhadap pemimpin dan rakyat akan
menjadi seperti mencurahkan air ke atas kulit telur burung kasawari.
6. Jika ulama malu beramal dengan amalan sebenar Islam, pemimpin dan rakyat akan tidak
mahu lagi beramal dengan sunnah.
7. Jika ulama sudah tidak takutkan Allah, pemimpin hilang takut kepada ulama dan rakyat akan
hilang segan kepada ulama.
Para ulama sepatutnya melihat keadaan masyarakat yang amat kronik pada hari ini dan berasa
amat risau dengan apa yang telah berlaku. Ingatlah, apa yang berlaku pada hari ini adalah akibat
daripada sikap para ulamanya yang tidak berjihad pada jalan Allah dengan sungguh-sungguh. Mereka
sepatutnya melihat apa yang berlaku di atas dan apa yang terjadi di bawah. Kalau tidak terasa apa-apa
pada lubuk hatinya, itu tandanya hati ulama itu telah benar-benar mati daripada mendapat hidayah
Allah. Kita pasti akan ditanya apa yang telah kita lakukan untuk memperbaiki kerosakan umat yang
berlaku pada hari ini.
Apabila pemimpin yang di atas sudah rosak, itu tandanya bahawa institusi ulama sudah rosak.
Hadis Nabi SAW ada menyebutkan bahawa rosaknya pemimpin adalah dikeranakan oleh rosaknya
para ulama. Sekiranya institusi ulama tidak rosak, para pemimpinnya juga pasti tidak akan rosak. Jika
rosak pun, tidaklah seteruk yang berlaku pada hari ini. Hal ini sudah dijelaskan oleh baginda SAW
sejak awal-awal lagi. Jika ulamanya bertakwa, pasti para pemimpinnya akan menjadi pemimpin yang
baik kepada rakyat. Kemudian, apabila rakyat biasa sudah rosak, malah amat kronik pula keadaannya,
maka ketahuilah bahawa itu dikeranakan oleh rosaknya pemimpin mereka tadi, dan kita telah ketahui
bahawa rosaknya pemimpin disebabkan oleh rosaknya para ulama.
Maka jelaslah di sini, ulamalah yang memikul tugas yang amat berat dan besar, yang
diletakkan di atas pundak mereka oleh Allah. Allah tidak berikan mereka kelebihan ilmu-Nya secara
percuma atau tanpa tanggungjawab yang menyertainya. Oleh itu, berbahagialah sesiapa yang
menerima kelebihan ilmu-Nya dan berbahagialah pula orang yang diberi kemampuan menunaikan
amanah-Nya itu. Maka fikirkanlah semua ini wahai orang yang berstatus ulama!
Bagaimanakah caranya untuk mengatasi semua masalah yang amat besar, rumit dan payah
ini? Jawapannya ialah dengan kembali semula kepada apa yang diperintahkan oleh baginda SAW di
dalam hadisnya iaitu mencari siapa dia pemimpin yang telah Allah tunjukkan untuk zaman ini. Kita
masih lagi berada pada awal kurun Hijrah. Oleh itu, marilah kita cungkil semula hadis-hadis yang
berkaitan dengan peristiwa akhir zaman. Semoga dengan itu kita akan dapat mencari, mencungkil,
membuka dan menjawab persoalan penting; Siapa dia pemimpin yang ditunjuk itu untuk zaman
kita ini? Hanya dengan mendapatkan orang yang Allah telah utuskan untuk memimpin umat pada
zaman ini sahajalah tanggungjawab yang sedang dipikul (sebenarnya mereka sudahpun tidak terpikul!)
oleh para ulama ini dapat dialihkan kepada pemimpin itu. Hanya dia sahaja yang mampu
menyelesaikan tugas yang tidak terpikul oleh para ulama itu, biar pun mereka berkongsi beramairamai
untuk cuba memikulnya.
Setelah itu, tunjukkan dan hebahkan kepada orang ramai bahawa inilah dia pemimpin yang
ditunjuk oleh Allah untuk sekalian manusia pada zaman ini, supaya mereka dapat mengenalinya,
melihatnya, mentaatinya dan menjadikan dia sebagai pemimpin mereka. Dengan itu, para ulama boleh
tidur dengan aman damai dan selesa di dalam rumah masing-masing kerana beban mereka sudah
terlepas dan jika mati pun, bolehlah mati dengan senyuman dan wajah yang berseri-seri. Insya-Allah
akan selamat pula di dalam kubur dan selamat juga di akhirat sana. Tidakkah semua ini menjadi
impian emas (golden dreams) kita sebagai seorang ulama? Jika semua ini tidak ada, apa peranan kita
sebenarnya? Oleh itu, carilah jalan dari mana kita hendak bermula. Ingatlah, perjalanan yang jauh
bermula daripada langkahan yang pertama. Jika tidak mula melangkah, kita tidak akan sampai ke
mana pun.
SukaSuka ·  · 

1 comment:

  1. Assalamualaikum warahmatullah wabaraqatuh..Saya mencari perawat disekitar, untuk rawatan secara dekat, saya termakan makanan dari ilmu guna-guna, beratus benda halus di hantar kepada saya..

    email saya : tubuhsatu@gmail.com

    ReplyDelete